Rabu, 29 Disember 2010

Ketokohan Perubatan Al-Zahrawi Dalam Tamadun Islam

Abu al-Qasim Khalaf  bin ‘Abbas al-Zahrawi atau dikenali sebagai “Abulcasis” di sebelah Eropah merupakan seorang pakar pembedahan Islam yang terkenal pada zaman Khalifah Abd al-Rahman III (Abdul Rahman al-Nasir, 912M-961M) di Andalus. Selain itu, beliau juga merupakan seorang saintis dan juga seorang ulama yang terkenal (Abdul Hakim 1996: 229). Beliau dilahirkan pada tahun 936 M di Kota al-Zahra[1] berhampiran dengan Cordova yang merupakan mercu tanda kejayaan Daulah Umawiyyah di Andalus dan wafat pada tahun 403 H/1013 M di tempat yang sama (M. Zaki & Singh 2005: 1039). Disamping itu, Abu al-Qasim Khalaf  bin Abbas juga turut dikenali dengan nama al-Zahrawi bersempena dengan kota kelahiran beliau.

Al-Zahrawi telah menulis sekurang-kurangnya 36 buah buku dalam bidang perubatan dan pembedahan yang pernah diterjemahkan dalam bahasa Latin. Antara buku beliau yang terkenal dan digunakan di Eropah sehingga kurun ke-16 dan 17 ialah al-Tasrif Liman ‘Ajiza ‘an al-Ta’lif. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis, Hebrew dan juga Sepanyol. Karya ini telah mendapat tempat dikalangan para ilmuan Eropah seperti Sabunju-Oghlu Sharaf al-Din Ibn ‘Ali al-Haj Ilyas, John Channing, Lucien Leclerc dan ramai lagi cendiakawan yang telah menterjemah kitab ini untuk digunakan sebagai rujukan dalam bidang kedoktoran dan farmasi. Para ilmuan Eropah telah menterjemahkan karya ini dalam berbagai-bagai bahasa, seperti bahasa Perancis, Latin, Turki dan lain-lain lagi. Selain daripada bidang pembedahan, al-Zahrawi juga menulis dalam bidang kesihatan am, farmakologi dan pemakanan (Ghazali Darusalam 2001: 172).

Al-Zahrawi telah memberi penjelasan yang teratur dan tersusun dalam perubatan Islam. Penulisan al-Zahrawi juga disertai dengan ilustrasi alat-alat yang digunakan. Bab berkenaan pembedahan dalam buku al-Tasrif adalah satu tesis pembedahan berilustrasi yang pertama dalam ilmu perubatan. Buku ini mengandungi tiga bahagian iaitu yang pertama berkenaan pembekaman (mengeluarkan darah) bagi penyakit ‘apoplexy’ (penyakit yang menghilangkan deria disebabkan oleh pecahan urat darah di otak). Bahagian yang kedua pula berkenaan pembedahan dibuat dengan pisau belah (skapel) dan pembedahan mata dan mulut. Manakala bahagian yang ketiga menerangkan tentang pembedahan bagi pelbagai bentuk pecah tulang dan seliuh serta berkaitan dengan kelahiran anak. Seterusnya bahagian yang terakhir buku al-Tasrif membincangkan tentang penyakit gigi dan pengubatannya dan ia telah menjadi dasar bagi ilmu pergigian di Eropah (Sulaiman Noordin 1989: 99).

Instrument Ciptaan al-Zahrawi

Ketokohan al-Zahrawi dalam bidang perubatan memang tidak dapat disangkalkan lagi kerana ramai sarjana Barat menganggap beliau setanding dengan pengamal perubatan terdahulu seperti Hippocrates dan Galen (Ismail Saad 1985: 41). Sebagai seorang pengamal perubatan, al-Zahrawi telah mengkaji penyakit dan pengkelasan penyakit (diagnosis dan prognosis), mengakui kepentingan anatomi, temperamen, meteorologi dan juga membincang mengenai cara-cara mengelak penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan. Dalam bidang kimia, beliau turut memberikan sumbangan yang banyak dalam bentuk ubat-ubatan atau dos, teknik dan alat penyediaan ubat. Sebagai seorang ahli bedah pula, beliau juga turut membincangkan tentang pembedahan dan membicarakan mengenai alat-alat yang beliau guna dengan  secara terperinci.

Berkenaan bidang pembedahan, al-Zahrawi turut mencipta dan memperkenalkan tidak kurang daripada 200 instrumen pembedahan yang mana sebahagiannya masih digunakan oleh pakar-pakar bedah pada zaman sekarang. Al-Zahrawi juga mencatatkan bahawa instrumen pembedahan yang dicipta oleh beliau diperbuat daripada besi bukannya emas. Hal ini kerana emas tidak cukup panas apabila dipanaskan ataupun terlebih menyerap kepanasan yang boleh menyebabkan emas menjadi cair. Antara instrumen ciptaan al-Zahrawi ialah alat pembedahan bagi pemeriksaan mata, hidung, lidah dan telinga, alat untuk mengeluarkan batu karang dalam pundi kencing, alat untuk mengeluarkan sel kanser tahap pertama (kanser peringkat awal), alat untuk mengeluarkan janin mati daripada perut ibu dan juga alat untuk bidang pergigian. Beliau juga turut memperkenalkan plaster moden dan pembalut luka yang masih digunakan di hospital di dunia pada zaman sekarang (Shabeer Ahmad 2008: 66-67).

 Antara beberapa jenis alat pembedahan lain yang direka sendiri oleh al-Zahrawi adalah seperti picagari pembedahan (surgical syringe), bebenang pembedahan yang diperbuat daripada tali perut (catgut)[2], sutera, rambut dan dawai emas atau perak yang digunakan untuk menjahit organ dalaman dan seterusnya  melarut secara semulajadi dalam tisu badan. Selain itu, berbagai-bagai jenis pisau yang beraneka bentuk dan khusus untuk kegunaan yang berlainan dan berbeza, misalnya seperti skapel (pisau bedah kecil), gunting, sendok bedah (surgical spoon), sound, pengait bedah (surgical hook), surgical rod, dan gergaji (Shabeer Ahmad 2008: 66).

Al-Zahrawi juga turut menggunakan alat pembedahan seperti tonsil guillotine yang digunakan untuk pembedahan leher, pisau yang khusus untuk merawat bisul yang bernanah (speculum vagina), alat penyuntik dan forsep (angkup) yang dikendalikan oleh chamberlen’s yang diperbuat daripada bahan buangan binatang. Selain terkenal sebagai seorang yang berani membuat pembaharuan dalam perubatan , al-Zahrawi juga dikenali sebagai pemelihara atau pengembang dalam bidang pergigian di kalangan orang arab. Antara alat ciptaan al-Zahrawi dalam bidang pergigian pula adalah seperti pencabut urat gigi yang dipanggil ‘vursella’. Ia digunakan oleh beliau untuk tujuan membuang kawat halus yang diperbuat dari emas dan perak yang mana kawat tersebut digunakan untuk mengikat gigi yang longgar dengan kuat. Selain itu, beliau juga menerangkan operasi membuang gigi-gigi yang memburukkan wajah manusia serta berhasil menggantikan gigi yang sakit dengan gigi palsu.

Al-Zahrawi juga telah menggunakan besi panas untuk membuat pemindahan barah seperti yang telah disarankan oleh Hippocrates. Pada hari ini, pengunaan besi panas ini masih digunakan untuk beberapa teknik. Malah penggunaan besi panas di negeri arab merupakan satu keistimewaan dan perubatan yang paling hebat. Penggunaan besi panas juga digunakan untuk mengubati penyakit ulser. Di dalam operasi pembedahan, al-Zahrawi menyatakan bahawa ianya mendatangkan dua kemungkinan sahaja iaitu yang  pertama ialah  membawa kebaikan kepada pesakit dan kedua ialah boleh membawa kepada kematian kepada pesakit.

Selain menggunakan besi panas, al-Zahrawi juga telah memperkembangkan kaedah penyembuhan dengan mengunakan api kerana beliau percaya bahawa cara ini akan dapat menyembuhkan penyakit kanser. Al-Zahrawi juga turut menggunakan kaedah ini terhadap para ibu yang ingin melahirkan anak. Namun kebanyakan doktor arab kurang pasti atau tidak yakin dengan keselamatan anak yang akan dilahirkan. Al-Zahrawi menerangkan kepada para ibu yang bakal melahirkan anak tentang alat-alat yang digunakan beliau bagi memudahkan proses kelahiran. Sehingga kini, alat ini masih digunakan  oleh ibu-ibu yang ingin bersalin iaitu forsep atau dikenali sebagai angkup (Al-Dib 1989: 81-82).

Perbandingan Instrumen Ciptaan Al-Zahrawi Dengan Masa Kini

Ketokohan dan sumbangan al-Zahrawi dalam bidang perubatan serta penciptaan instrumen memang sangat membanggakan umat Islam. Hal ini kerana penciptaan instrumen al-Zahrawi masih digunakan oleh pakar bedah pada zaman sekarang. Ramai sejarawan perubatan mengakui bahawa masih terdapat instrument ciptaan al-Zahrawi yang masih digunakan pada masa kini. Beberapa alatan pembedahan pada masa kini adalah evolusi daripada ciptaan al-Zahrawi.

 Antara instrument al-Zahrawi yang masih digunakan pada zaman sekarang ialah forsep. Al-Zahrawi menjelaskan alat bedah yang unik untuk wanita, seperti penggunaan forseps dalam pemeriksaan vagina. Beliau juga merupakan orang yang pertama melakukan operasi pengecilan payudara dengan menggunakan metod yang menyerupai teknik moden (Al-Dib 1989: 81-82).

            Selain itu, pada zaman sekarang juga turut menggunakan bebenang pembedahan ciptaan al-Zahrawi yang diperbuat daripada tali perut (catgut), sutera, rambut dan dawai emas atau perak yang digunakan untuk menjahit organ dalaman dan seterusnya  melarut secara semulajadi dalam tisu badan (Shabeer Ahmad 2008: 66). Perkara ini dapat dilihat melalui jahitan yang dilakukan oleh para doktor supaya mereka tidak perlu melakukan sekali lagi pembedahan untuk membuang bebenang jahitan tersebut. Beliau juga turut memperkenalkan plaster moden dan pembalut luka yang masih digunakan di hospital di dunia pada zaman sekarang (Shabeer Ahmad 2008: 67).

4.1       Teknik Pembedahan al-Zahrawi

Al-Zahrawi telah menjalankan pembedahan dengan berbagai-bagai teknik. Antara teknik pembedahan yang dijalankan oleh al-Zahrawi ialah teknik steril (tanpa kuman) di mana kuman dimusnahkan dengan alkohol atau pembakaran. Toresan (incision) dan pembuangan (excision) tisu dilakukan berpandukan pada pengetahuan anatomi. Pembuluh darah yang terpotong dihentikan pendarahannya dengan teknik ligasi (ikatan benang) atau kauteri (bakar dengan besi panas). Tisu tubuh dibuka dan akhirnya ditutup satu lapis demi lapis dengan jahitan benang dan mengunakan teknik steril seperti yang dilakukan sekarang. Namun pada zaman sekarang teknik ini digunakan dengan mengunakan elektrik sesuai dengan kecanggihan teknologi (Nik Aziz Sulaiman 1989: 107).

            Berkenaan dengan teknik kauteri (cauterization) yang masih diguna pakai pada zaman sekarang, al-Zahrawi telah memperkenalkannya terlebih dahulu berbanding zaman moden ini. Teknik kauteri ialah proses memusnahkan tisu yang berpenyakit dengan cara membakarkannya dengan besi panas ataupun kimia kaustik. Namun pada zaman sekarang, diatermi sejenis kauteri yang mengunakan besi panas elektrik digunakan dengan meluas untuk menghentikan pendarahan. Selain itu, diatermi juga digunakan untuk memotong tisu yang berpenyakit seperti lession kanser ( Mohd Irman 2009: 33). Walaupun pada zaman dahulu, pengunaan elektrik blum wujud, namun teknik kauteri telah digunakan oleh al-Zahrawi dalam proses pembedahan beliau.

            Disamping itu, beberapa jenis pengaliran nanah yang terperangkap di ruang tubuh (abses) dilakukan. Demikian juga beberapa jenis pembedahan dilakukan di dalam bidang obstetrik (perbidanan), pergigian dan urologi seperti pembuangan batu karang di dalam pundi kencing. Trakeostomi iaitu penebukan kerongkong pernafasan yang tersumbat dan amputasi (pemotongan anggota kaki atau tangan) juga turut dilakukan oleh al-Zahrawi (Nik Aziz Sulaiman 1989: 107-108). Beliau juga merupakan pakar bedah pertama yang mengunakan kapas dalam prosuder pembedahan untuk mengawal pendarahan.
Kesimpulan

Pencapaian tamadun Islam merupakan satu kegemilangan yang menakjubkan bagi semua pihak, termasuk sarjana Barat. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui ketokohan dan sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh perubatan dan pembedahan Islam di Andalus iaitu al-Zahrawi. Ketokohan beliau diakui di negara Sepanyol, Afrika Utara dan Kerajaan Islam Timur dan juga Eropah Barat. Beliau bukan sahaja dapat menghasilkan sebuah karya agung iaitu al-Tasrif bahkan menjadikan sumber rujukan utama bagi sarjana Islam dan juga bukan Islam. Beliau juga turut memperkenalkan instrumen-instrumen pembedahan yang masih digunakan pada masa kini. Ternyatalah ketokohan dan sumbangan beliau terhadap dunia pada masa kini sangat besar.

Selain memberi sumbangan dalam bidang penghasilan buku-buku yang sangat penting kepada tamadun Islam dan Eropah umumnya, al-Zahrawi turut memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan masyarakat seperti menyemarakkan aktiviti penterjemahan, penyediaan ruang untuk khidmat penjagaan kesihatan yang baik, penyediaan maklumat tentang ilmu perubatan. Malahan, beliau juga turut memberi sumbangan yang begitu penting dalam bidang penciptaan instrument pembedahan (Roziah Sidik 2009:102-105). Teori-teori yang terdapat dalam karya beliau bukan sahaja digunakan pada zamannya sahaja, malahan masih digunaka pada zaman sekarang. Keupayaan beliau dalam bidang ini membuatkan ramai sarjana menggelarkan sebagai “bapak pembedahan moden”.
Rujukan

Ahmad, Jamil. 1971. Hundred Great Muslims. Lahore: Ferozonoono Ltd.
Ahmadie Thaha. 1982. Kedoktoran Dalam Islam. Surabaya: PT Bina Ilmu.
Ahmad, Shabeer. 2008. Development of Science&Technology in Islamic History. Riyadh: Maktaba Dar al-Salam.
Al-Hafifi, ‘Abdul Hakim. 1996. 1000 Peristiwa dalam Islam. Terj. Irwan Kurniawan. Bandung: Pustaka Hidayah.
Al-Dib, Abd Al-A’zim.1989. Abu al-Qasim al-Zahrawi: Awwala Thib Jarah fi al-‘Alam. Al-Bustan: Dar al-Ansar.
Ghazali Darusalam. 2001. Sumbangan Sarjana Dalam Tamadun  Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ismail Saad. 1985.  Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
M. Zaki Kirmani & Singh. N. K. 2005.  Encylopedia of Islamic Science and Scientists. Jil. 4. New Delhi: Global Vision Publishing House.
Spink. M.S. & Lewis. G. L. 1973. Albucasis On Surgery and Instruments; A Defininitive Edition of the Arabic Text With English Translation and Commentary. London: Institute of the History of Medecine.













[1] Kota az-Zahra telah dibangunkan oleh pemimpin Muslim terkemuka di Andalus iaitu Khalifah al-Nashir dan dibangunkan lagi oleh Ibn Abi ‘Amir ketika meguasai pemerintahan Andalus. Setelah Ibn Abi ‘Amir (al-Manshur) meninggalkan dunia, pemerintahan telah diambil alih oleh cucunya iaitu ‘Abdurrahman al-Hakam dan beliau telah berseteru dengan keluarga Umaiyah dan telah menghancurkan kota az-Zahra yang telah menjadi mercu tanda kebanggaan Daulah Umaiyah di Andalus.
[2] Alat yang digunakan Al-Zahrawi untuk menjahit bahagian dalaman dan sehingga kini masih digunakan ilmu bedah moden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan