“The Time Is Money”. Itulah ungkapan klasik barat tentang kepentingan masa. Manakala pepatah arab mangatakan "Alwaktu Kassaifi" yang bermaksud, masa itu ibarat mata pedang.Jikalau kita tidak memotongnya, masa itu akan meninggalkan kita. Dalam masyarakat Melayu pula mengatakan "Masa Itu Emas”. Ketiga-ketiga perumpamaan ini menunjukkan kepada kita bahawa masa itu sangat berharga dan begitu penting dalam kehidupan kita didunia bagi mencari bekalan di Akhirat.
Sekiranya kita menghayati dan menghalusi pepatah diatas ini dengan teliti, ia menunjukkan kepada kita tentang hakikat sebenar masa tersebut. Sebenarnya, masa adalah inti hidup setiap manusia. Berlalunya masa bersama putaran roda kehidupan bermakna berlalunya umur kita sedikit demi sedikit. Seorang ahli sufi pernah berkata:
”Wahai anak cucu Adam! Hidup kamu hanyalah himpunan hari-hari yang dapat dihitung. Apabila berlalunya satu hari, bererti hilanglah sebahagian daripada dirimu, dan jika hilang sebahagian darimu, maka bertambah dekatlah masa matimu. Sekiranya kamu mengetahui dan menginsafi hal ini, hendaklah kamu beramal soleh”.
Masa pada hakikatnya mempunyai sifatnya tersendiri yang amat jauh berbeza dengan sifat sesuatu jenis barang atau harta yang lain. Antaranya ialah sifat tidak akan kembali lagi, manakala yang kedua ialah sifat yang tidak boleh dipindah milik. Sifat masa yang ketiga ialah tidak boleh digantikan oleh sesuatu apa pun dan yang terakhir ialah masa tidak dapat dijual beli. Keterangan diatas menunjukkan bahawa masa itu mempunyai sifat yang tersendiri dan sangat berbeza dengan sifat barang-barang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya MASA pada kita semua.
Dalam Islam, tujuan hidup bukanlah sekadar untuk mencari kebahagian dunia dan material semata-mata, namun matlamat hidup didunia ini lebih daripada itu. Al-quran menyarankan kita agar berusaha untuk memperolehi kebahagian material dan juga kerohanian bagi menjadi bekalan di Hari Akhirat nanti. Nabi Muhammad s.a.w. juga menyarankan agar kita selalu mengamalkan doa yang terdapat dalam surah Al-Baqarah ayat 201-202 yang bermaksud :
”Dan diantara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata : Wahai Tuhan kami, Berikanlah kami kebaikan didunia dan juga di Akhirat dan peliharakanlah kami dari azab api neraka. Mereka itulah yang akan mendapat kebahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungan-Nya”.
Oleh yang demikian, Islam telah menganjurkan umatnya supaya menghargai masa yang ada agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjejaki kedua-dua kebahagian duniawi dan ukhrawi sebagaimana yang dijanjikan Allah s.w.t.Rasulullah s.a.w juga tidak ketinggalan dalam menasihati umatnya tentang kepentingan masa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
”Jadikanlah dirimu itu didunia ini sebagai seorang asing atau seperti pengembara yang melewati satu jalan. Jika kamu berada diwaktu petang, jangan dinanti waktu pagi, Jika kamu berada diwaktu petang jangan ditunggu waktu pagi”.
Walaubagaimana pun, apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah sebaliknya. Kebanyakan manusia pada zaman sekarang kerap kali lupa dan leka dengan penggunaan masa dalam melayari bahtera kehidupan, meredah lautan bergelora dan akhirnya mati kelemasan di tengah lautan. Nabi kita menyarankan kita agar merebut lima perkara sebelum lima perkara sebagaiamana sabda baginda yang bermaksud:
”Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara , masa muda mu sebelum tua, masa sihat mu sebelum sakit, masa senang mu sebelum masa susah, masa hidup mu sebelum mati dan masa lapang mu sebelum masa sibuk".
Hadis ini menunjukkan kepada kita, bahawa Nabi kita Muhammad s.a.w. begitu menitikeratkan tentang kepentingan masa. Perlu diinsafi bahawa masa yang mewarnai kehidupan kita adalah nikmat daripada Allah s.w.t yang tidak ternilai bagi kita. Ayuh ,marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat masa yang kita ada dengan menggunakannya sebaik yang mungkin. Kita perlu ingat bahawa pada Hari Pembalasan nanti kita akan disoal oleh Pencipta kita tentang masa yang kita habiskan didunia ini. Hal ini terungkap dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :
”Tidak tergelincir kaki Anak Adam pada Hari Akhirat nati melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; tentang umur dimana dihabiskan, masa mudanya bagaimana dipergunakan, tentang hartanya dimana diperolehi, dan kemanakah dibelanjakan dan tentang ilmunya apakah ianya amalkan".
Jelaslah kepada kita bahawa masa merupakan aset yang begitu penting dan nikmat yang terbesar dimiliki oleh manusia. Oleh itu setiap manusia wajib mensyukuri nikmat masa agar sama-sama kita dapat memenuhi tuntutan agama dan suruhan Allah s.w.t. Di kesempatan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita muhasabah diri kita , berapa jamkah kita habiskan masa kita untuk bertadarus Al-Quran? berapa lamakah kita sujud memperhambakan diri kita pada Yang Maha Agung lagi sempurna dengan segala sifat.Ayuh kita tanya diri kita, berapa kali kah kita bagun untuk Qiamullail pada bulan Ramadhan yang dijanji pahala sunat seperti pahala yang wajib. Waallahu a’lam. Salam Ramdhan buat semua Umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan