Khamis, 26 Ogos 2010

"The Time Is Money"






“The Time Is Money”. Itulah ungkapan klasik barat tentang kepentingan masa. Manakala pepatah arab mangatakan "Alwaktu Kassaifi" yang bermaksud, masa itu ibarat mata pedang.Jikalau kita tidak memotongnya, masa itu akan meninggalkan kita. Dalam masyarakat Melayu pula mengatakan "Masa Itu Emas”. Ketiga-ketiga perumpamaan ini menunjukkan kepada kita bahawa masa itu sangat berharga dan begitu penting dalam kehidupan kita didunia bagi mencari bekalan di Akhirat.

     Sekiranya kita menghayati dan menghalusi pepatah diatas ini dengan teliti, ia menunjukkan kepada kita tentang hakikat sebenar masa tersebut. Sebenarnya, masa adalah inti hidup setiap manusia. Berlalunya masa bersama putaran roda kehidupan bermakna berlalunya umur kita sedikit demi sedikit. Seorang ahli sufi pernah berkata:  

     ”Wahai anak cucu Adam! Hidup kamu hanyalah himpunan hari-hari yang dapat dihitung. Apabila berlalunya satu hari, bererti hilanglah sebahagian daripada dirimu, dan jika hilang sebahagian darimu, maka bertambah dekatlah masa matimu. Sekiranya kamu mengetahui dan menginsafi hal ini, hendaklah kamu beramal soleh”.
   
     Masa pada hakikatnya mempunyai sifatnya tersendiri yang amat jauh berbeza dengan sifat sesuatu jenis barang atau harta yang lain. Antaranya ialah sifat tidak akan kembali lagi, manakala yang kedua ialah sifat yang tidak boleh dipindah milik. Sifat masa yang ketiga ialah tidak boleh digantikan oleh sesuatu apa pun dan yang terakhir ialah masa tidak dapat dijual beli. Keterangan diatas menunjukkan bahawa masa itu mempunyai sifat yang tersendiri dan sangat berbeza dengan sifat barang-barang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya MASA pada kita semua.

     Dalam Islam, tujuan hidup bukanlah sekadar untuk mencari kebahagian dunia dan material semata-mata, namun matlamat hidup didunia ini lebih daripada itu. Al-quran menyarankan kita agar berusaha untuk memperolehi kebahagian material dan juga kerohanian bagi menjadi bekalan di Hari Akhirat nanti. Nabi Muhammad s.a.w. juga menyarankan agar kita selalu mengamalkan doa yang terdapat dalam surah Al-Baqarah ayat 201-202 yang bermaksud :  

     ”Dan diantara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata : Wahai Tuhan kami, Berikanlah kami kebaikan didunia dan juga di Akhirat dan peliharakanlah kami dari azab api neraka. Mereka itulah yang akan mendapat kebahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungan-Nya”.

     Oleh yang demikian, Islam telah menganjurkan umatnya supaya menghargai masa yang ada agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjejaki kedua-dua kebahagian duniawi dan ukhrawi sebagaimana yang dijanjikan Allah s.w.t.Rasulullah s.a.w juga tidak ketinggalan dalam menasihati umatnya tentang kepentingan masa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:  
 
     ”Jadikanlah dirimu itu didunia ini sebagai seorang asing atau seperti pengembara yang melewati satu jalan. Jika kamu berada diwaktu petang, jangan dinanti waktu pagi, Jika kamu berada diwaktu petang jangan ditunggu waktu pagi”.

     Walaubagaimana pun, apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah sebaliknya. Kebanyakan manusia pada zaman sekarang kerap kali lupa dan leka dengan penggunaan masa dalam melayari bahtera kehidupan, meredah lautan bergelora dan akhirnya mati kelemasan di tengah lautan. Nabi kita menyarankan kita agar merebut lima perkara sebelum lima perkara sebagaiamana sabda baginda yang bermaksud:  

     ”Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara , masa muda mu sebelum tua, masa sihat mu sebelum sakit, masa senang mu sebelum masa susah, masa hidup mu sebelum mati dan masa lapang mu sebelum masa sibuk".

     Hadis ini menunjukkan kepada kita, bahawa Nabi kita Muhammad s.a.w. begitu menitikeratkan tentang kepentingan masa. Perlu diinsafi bahawa masa yang mewarnai kehidupan kita adalah nikmat daripada Allah s.w.t yang tidak ternilai bagi kita. Ayuh ,marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat masa yang kita ada dengan menggunakannya sebaik yang mungkin. Kita perlu ingat bahawa pada Hari Pembalasan nanti kita akan disoal oleh Pencipta kita tentang masa yang kita habiskan didunia ini. Hal ini terungkap dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :

     ”Tidak tergelincir kaki Anak Adam pada Hari Akhirat nati melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; tentang umur dimana dihabiskan, masa mudanya bagaimana dipergunakan, tentang hartanya dimana diperolehi, dan kemanakah dibelanjakan dan tentang ilmunya apakah ianya amalkan".

     Jelaslah kepada kita bahawa masa merupakan aset yang begitu penting dan nikmat yang terbesar dimiliki oleh manusia. Oleh itu setiap manusia wajib mensyukuri nikmat masa agar sama-sama kita dapat memenuhi tuntutan agama dan suruhan Allah s.w.t. Di kesempatan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita muhasabah diri kita , berapa jamkah kita habiskan masa kita untuk bertadarus Al-Quran? berapa lamakah kita sujud memperhambakan diri kita pada Yang Maha Agung lagi sempurna dengan segala sifat.Ayuh kita tanya diri kita, berapa kali kah kita bagun untuk Qiamullail pada bulan Ramadhan yang dijanji pahala sunat seperti pahala yang wajib. Waallahu a’lam. Salam Ramdhan buat semua Umat Islam.

Selasa, 24 Ogos 2010

Berbuka puasa ( Iftar): Sunnah atau Mudharat???

        
Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam sebagai tanda ketakwaan kepada Allah. Pelbagai ganjaran dan manfaat yang diturunkan bersama kedatangan Ramadan untuk dinikmati oleh umat Islam.
puasa  membawa 1,001 kebaikan kepada umat Islam baik daripada segi pengukuhan iman atau kesihatan.
Sayangnya, umat Islam yang tekun menjalani ibadat puasa pada sebelah siang seolah-olah terlupa kepada matlamat utama puasa itu sendiri apabila makan dan berbelanja melampaui batas apabila tiba waktu berbuka.
“Tujuan ibadat berpuasa ialah untuk menjadikan kita lebih bertakwa dan puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya pengisian puasa itu yang lebih penting.
“Di dalam al-Quran, Allah menyuruh kita makan dan minum tetapi jangan melebihi had, jangan melampaui batas. Malangnya, masyarakat kita apabila berbuka kembali mengikut nafsu.
umat Islam dibolehkan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang diadakan setiap tahun tetapi kadarnya perlu berpatutan.
Adab berbuka puasa sudah ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad dan itulah yang perlu dicontohi oleh umat Islam untuk memperoleh keberkatan berpuasa.
Cukuplah berbuka dengan sekadar buah tamar, sedikit kuih-muih yang manis dan air kosong untuk mengembalikan tenaga. Ia memudahkan kita untuk bersolat maghrib dengan lebih selesa dan tenang. Kajian saintifik juga menunjukkan buah tamar mengandungi pelbagai khasiat.
“Umat Islam perlu ingat, jika berbuka dengan secara berlebihan, hikmah kita berpuasa itu tidak akan dapat diperoleh. Nabi sendiri pernah mengingatkan kita supaya berhenti makan sebelum kenyang. Amalan berpuasa ini sebenarnya membuatkan kita menjadi lebih sihat. Tetapi ia boleh bertukar menjadi penyakit apabila perut yang kosong tiba-tiba dikejutkan dengan menjamu selera keterlaluan.
Apabila perut sudah penuh ketika berbuka puasa, maka timbul perasaan malas untuk bangun sahur kerana masih kenyang.
Sahur merupakan satu keberkatan Ramadan yang kurang diambil berat oleh umat Islam
mungkin ramai yang tidak menyedari terdapat dua sunnah Nabi dalam bersahur iaitu bangun bersahur dan melewat-lewatkan sahur sehingga hampir waktu subuh.Sunnah bersahur itu perlu diberatkan oleh umat Islam kerana ia ada keberkatannya.

Sabtu, 21 Ogos 2010

REMAJA MESRA MASJID...


Ahli jawatankuasa masjid dan surau harus mencari jalan untuk menarik golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan. suasana masjid dan surau yang sesak dipenuhi oleh para jemaah termasuk golongan muda sepanjang bulan puasa seharusnya dikekalkan untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa. Kita perlu mencari jalan untuk menarik minat golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan.Rumah Allah ini seharusnya dijadikan tempat beribadat untuk semua golongan. Kita tidak mahu lihat dalam bulan Ramadan sahaja, rumah ibadat penuh sesak dengan mereka yang berpusu-pusu ke masjid untuk solat dan bertarawih. Adakah keadaan ini dapat kita pertahankan dalam bulan-bulan lain? Adalah penting untuk kita ambil langkah supaya golongan muda berjinak-jinak dengan masjid. Kalau tidak, masjid sesak pada bulan Ramadan, tetapi sepi pada bulan-bulan lain.
Kita semua kena fikirkan akan perkara ini, bukan sahaja AJK Surau, Imam-imam atau Ustaz-ustaz tetapi seluruh umat harus memikirkan akan perkara yang penting ini. Kerana apa ianya penting? Kerana sumbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zaman. Janganlah kita hanya aktif beribadat pada bulan Ramadhan sahaja. Agama Islam bukanlah agama yang bermusim. Amal dan Ibadah adalah berterusan hingga ke hari kiamat.
Generasi muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.
Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat.
Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.
Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.
Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang.
Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi: 13)
Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.
Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.”
Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus’ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.
Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim.
Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda.
Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah.
Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.
Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.


Antara alternatif untuk memikat para remaja ke masjid yang kita boleh lakasanakan ialah


1. Wujudkan jawatan kuasa khas yang mempromosi pelbagai program di masjid/surau khas untuk remaja.
2. Sediakan program khas untuk para remaja yang tidak bercampur dengan orang dewasa,
3. Panggil penceramah yang boleh memberi kaitan remaja dengan masjid/surau untuk menarik minat mereka agar kerap ke masjid.
4. Anjurkan pertandingan bola sepak, badminton, pingpong atas nama Piala SurauPiala Masjid. Program diadakan di kawasan masjid/surau. Waktu solat, wajib solat berjemaah semasa program berjalan. program mesti memberi perhatian kepada fizikal dan kerohanian (kuiz agama, pidato agama, bahas agama, berzanji, marhaban)
5. Program mesti berterusan Peranan AJK masjid/surau sangat penting..
Marilah kita bersama- sama mengimarahkan rumah Allah ini..


MENCAPAI KEJAYAAN DALAM MENUNTUT ILMU






Ilmu pengetahuan dan kehidupan manusia merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita seharian. Ilmu merupakan landasan untuk kita mencapai kejayaan didunia dan juga di Akhirat. Tanpa ilmu pengetahuan kita semua akan mundur dan jatuh serta ketinggalan dalam setiap perkara. Islam telah mewajibkan umatnya menuntut ilmu untuk mencapai kejayaan di dunia mahu pun di Akhirat sebagaimana sabda junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi : 

          Maksudnya : Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap orang Islam ( Lelaki dan perempuan).                                                                                    

            Wahyu yang-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dimulai dengan kalimah Iqra’ yang bermaksud bacalah. Hal yang demikian menunjukkan bahawa Islam menyuruh umatnya membaca kerana melalui pembacaan kita akan memperolehi ilmu. Oleh itu, setiap pelajar samada lelaki atau pun perempuan mestilah menanam didalam diri mereka sifat suka membaca bertepatan dengan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Alaq yang bermaksud : 

           “ Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang mencipta. Dia telah menciptakan manusia daripada daripada segumpal dara. Bacalah dan Tuhanmu yang paling pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar ilmu kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui". ( Surah al-Alaq)  

           Selain itu, setiap pelajar mestilah berakhlak yang mulia samada akhlak dengan guru, ibubapa, akhlak dengan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Apa yang penting disini ialah setiap pelajar samaada lelaki dan perempuan mestilah menghormati guru. Hal ini kerana daripada gurulah pelajar mendapat ilmu pengetahuan. Guru-guru telah mengajar tanpa mengira penat dan lelah. Disamping itu, dalam menuntut ilmu dan mengejar kejayaan di dunia dan di Akhirat setipa pelajar mestilah menjaga adab pergaulan dan adab bermuamalah sesama manusia. Terutamannya bagi pelajar lelaki, mestilah menjaga pergaulan dengan pelajar perempuan.

          Begitu juga dengan pelajar perempuan semestinya menjaga pergaulan mereka. Seterusnya, pelajar-pelajar seharusnya menjauhi daripada setiap akhlak yang buruk .Antaranya riak, sombong cepat putus asa dan sebagainya. Pelajar hendaklah menghiasi diri mereka dengan akhlak-akhlak yang bain dan indah serta mulia. Hal ini kerana menuntut ilmu ialah untuk mencari kesempurnaan hidup didunia dan juga kebahagian di Akhirat. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. yang boleh diamalkan oleh setiap pelajar ialah : 

        ” Ya Allah , sesunguhnya aku memohon perlindungan Engkau dari ilmu yang tidak bermanfaat dan hati yang tidak kusyuk.” (Hadis Riwayat Muslim)

         Perkara terakhir yang sangat penting dalam menuntut ilmu bagi setiap pelajar ialah berdoa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Berdoa bererti memohon sesuatu kepada Allah manakala tawakkal pula bermaksud berserah kepada Allah setalah berusaha. Dalam Islam, langkah-langkah untuk mencapai kejayaan dimulai dengan berhajat yakni cita-cita, berusaha, berdoa dan bertawakkal serta muhasabah diri. 

          Secara kesimpulannya, dalam menuntut ilmu setiap pelajar mestilah mempunyai cara-cara ataupun jalan yang betul serta menjauhkan sifat-sifat mazmumah dalam diri mereka samaada pelajar lelaki mahupun perempuan. Selain itu, mereka juga mestilah mengamalkan ilmu yang ada dalam diri mereka sebagaimana kata pepatah arab ” Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah”.






Khamis, 19 Ogos 2010

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ. (٧