Sayangnya apa yang dituliskan oleh mereka ini telah hilang. Hanya tinggal beberapa bahagian yang tercerai, setengahnya terdapat dalam kitab At-Tabari manakala sebahagian yang lain pula tersimpan di bandar Heidelberg di Jerman. Bahagian yang tersimpan di Jerman ini ialah sebahagian dari tulisan Wahb bin Manbah (110H). Kemudian timbul pula satu angkatan penyusun riwayat hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang terkemuka antara mereka ialah Muhammad bin Ishaq (wafat, 152H) kemudian lapisan kedua, antara mereka ialah Al Waqidi (wafat, 207H) dan Muhammad bin Sa’ad (wafat pada tahun 230H) penyusun kitab At-Tabaqat Al-Kubra.
Ahli sejarah sebulat suara mengatakan bahawa apa yang ditulis oleh Muhammad bin Ishaq merupakan satu-satunya maklumat (dokumen) sejarah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang paling benar dan boleh dipegang. Tetapi malangnya kitab beliau yang berjudul Al Maghazi Wa Al Siyar telah hilang dan kehilangannya mengakibatkan hilangnya intisari perpustakaan di zaman itu. Setelah masa beredar setengah abad lamanya barulah timbul seorang jaguh yang lain iaitu Abu Muhammad Abdul Malek yang lebih dikenal dengan Ibnu Hisyam, beliau telah menghidangkan kepada kita saringan sejarah Rasulullah Sallalahu ‘alaihi Wasallam dengan cara yang menarik sekali.
Sebenarya apa yang dikarang oleh Ibnu Hisyam itu adalah kandungan “Al Maghazi Wa Al Siyar” yang dikarang oleh Ibnu Ishaq dalam bentuk ringkasan. Ibnu Khillikan telah menegaskan dalam bukunya begini:
“Ibnu Hisyam ini ialah orang yang mengumpulkan Riwayat Rasulullah daripada Kitab “Al Maghazi Wa Al Siyar” yang dikarang oleh Ibnu Ishaq setelah disaring dan dibuat beberapa pembaharuan, tambahan dan ringkasan. Kemudian hasil itu dikenali dengan nama “Sirah Ibnu Hisyam.” Akhimya barulah orang lain cuba mengikuti jejak langkah mereka ini dalam usaha mengarang dan menyusun sejarah hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, terdapat antara mereka yang cuba membentangkan pelbagai aspek hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Sebahagian dari mereka yang lain pula cuba mengkaji sudut- sudut hidup Baginda yang tertentu, seperti Al Asfahani dalam bukunya “Dala’il Al Nu-buwwah” dan “Tanda-tanda Kenabian.” Imam Tarmidzi pula dalam kitabnya (Al Asy Syamail) cuba menyingkap aspek yang tertentu dan begitu juga Ibn Al Qayyim Al Jauziy dengan bukunya “Zad Al Ma’ad”.